Kehidupan awal Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Tunku Hajah Azizah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru dan merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail bersama isterinya, Enche’ Besar Hajah Kalsom. KDYMM Tuanku Azizah yang berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini mempunyai empat orang adik-beradik. Kakanda puteranya kini merupakan Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Ismail ibni Sultan Mahmud Iskandar.

KDYMM Tuanku Azizah memulakan pendidikan awal baginda di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda kemudian meneruskan pendidikan baginda di Sekolah Rendah Perempuan Sultan Ibrahim dan mendapatkan pendidikan menengah baginda di Sekolah Tun Fatimah, kedua-duanya di Johor Bahru.[2]

KDYMM Tuanku Azizah juga terkenal dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan dan pernah mengeluarkan buku resipinya sendiri, "Air Tangan Tengku Puan Pahang" dan "Masakan Tradisional Pahang". Baginda juga tidak kekok memasak untuk mangsa-mangsa banjir di Pahang.[3]